Wednesday 21 September 2011

Abdul Karim bangga Piala Perpaduan capai matlamat

September 21, 2011

JUARA: Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan piala juara kepada ketua pasukan Kaslo FC sambil disaksikan Zawawi (kiri), Haidel dan Buang (belakang) di Kampung Sambir, Asajaya.
ASAJAYA: Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdul Karim Rahman Hamzah melahirkan rasa bangga dengan penganjuran kejohanan tertua, Piala Perpaduan Sambir yang telah mencapai matlamatnya untuk menyatupadukan rakyat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya ternyata kagum dengan penganjuran kejohanan itu yang kini sudah mencecah edisi ke-45.

“Saya amat gembira dengan kejayaan pihak penganjur kejohanan Piala Perpaduan Sambir yang menjadikan acara sukan itu berprestij diadakan setiap tahun,” katanya berucap merasmikan penutupan kejohanan itu di sini Ahad lalu.

Hadir sama Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Haidel Heli, Setiausaha Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya Buang Bolhassan dan pengerusi penganjur, Zawawi Keri.

Kejohanan berkenaan pada mulanya dinamakan Piala Ekspress Sambir ditukarkan kepada Piala Ketua Menteri dan kemudiannya ditukar kini sebagai Piala Abdul Karim.

Abdul Karim berkata kejohanan itu bukan sahaja menjadi medan bagi menyatupadukan penduduk, malah sebagai gelanggang melahirkan pemain-pemain bola sepak berbakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, kejohanan Piala Perpaduan Sambir juga sinonim dengan memeriahkan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri kerana dianjurkan selepas Hari Raya terbabit.

“Saya percaya kejohanan itu merupakan temasya tahunan yang mampu menjadi landasan untuk terus mengukuhkan perpaduan penduduk negeri ini,” katanya.

Beliau menarik perhatian bahawa ramai pemain yang mewakili skuad bola sepak negeri telah lahir dari kejohanan ini.

Antara bekas pemain dan pemain negeri yang pernah beraksi pada kejohanan ini ialah Effendi Julaihi, Irwandy Jempaka, Mohd Ali Sapiee, Ramos Sari, Ramles Sari, Abang Mohd Zafari Abang Othman, Mohd Shahrol Saperi dan ramai lagi.

“Saya yakin kejohanan Piala Perpaduan Sambir akan terus melahirkan lebih ramai pemain-pemain berpotensi untuk mewakili pasukan negeri,” katanya.

Pada kejohanan musim ini, pasukan Kaslo FC (Kampung Semera Lot) telah membuktikan kehebatan mereka untuk merangkul Piala Perpaduan Sambir 2011 setelah menang tipis 1-0 ke atas Mijjan FC (Muara Tebas) dalam aksi perlawanan akhir di Padang Sukan Kampung Sambir.

Kejayaan itu membolehkan Kaslo FC merangkul piala pusingan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah berserta dengan piala iringan dan wang tunai berjumlah RM2,000.

Sementara itu, Mijjan FC tidak pulang dengan tangan kosong apabila mereka meraih sebuah piala dan wang tunai berjumlah RM1,500.

Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Izzani FC yang membelasah Mang FC dengan 4-0 dalam perebutan tempat ketiga dan keempat.

Izzani FC meraih sebuah piala dan wang tunai berjumlah RM1,000, sementara Mang FC membawa pulang sebuah piala dan wang tunai RM500.

Hadiah para pemenang disampaikan oleh Abdul Karim.

Kejohanan itu bermula 1 September lalu dan berakhir pada 11 September dengan penyertaan sebanyak 48 pasukan.

No comments:

Post a Comment