Wednesday 24 October 2012

Kampung tradisi di Asajaya pasti miliki surat hak milik tanah: Karim


ASAJAYA: Kampung-kampung tradisi di daerah ini akan dipastikan memiliki surat hak milik tanah masing-masing.

Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun pelaksanaannya memakan masa namun ia akan dijalankan dari semasa ke semasa.

“Kita akan terus memberikan geran hak milik kepada kampung-kampung tradisi yang belum memilikinya.

“Sekarang penyukatan sudah dilaksanakan di beberapa kampung tetapi agak memakan masa namun ia akan dijalankan secara berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan surat hak milik tanah bahagian Samarahan di Kompleks Sukan Asajaya, di sini semalam.

Hadir sama ialah Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan Rozlan Putit.

Pada majlis tersebut, sebanyak 224 surat hak milik tanah diserahkan kepada seramai 180 penerima yang merupakan penduduk Kampung Tradisi Sambir, di sini.

Dalam pada itu, Karim yang juga Menteri Muda Belia merangkap ADUN Asajaya berkata kerajaan turut memberikan geran hak milik tanah kepada penduduk kampung tradisi yang diberikan lot kediaman di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK).

Menurut beliau, terdapat belasan kampung tradisi di daerah Asajaya telah dibuat skim tersebut, antaranya di Kampung Tambirat, Kampung Asajaya dan Kampung Sebandi Hulu.

Katanya SPK diatur bagi memberi keselesaan kepada keluarga-keluarga besar di kampung tradisi yang mana dua atau tiga keluarga tinggal di dalam sebuah rumah.

“Kerajaan melalui Jabatan Tanah dan Survei mengambil tanah berdekatan kampung tersebut dan kemudian membayar pampasan kepada pemilik tanah.

“Tanah tersebut seterusnya dipecahkan kepada lot kecil untuk dibina rumah persendirian dan diagihkan kepada penduduk yang layak.

“Itulah cara kita untuk memberi keselesaan kepada keluarga-keluarga tambahan ini,” katanya.
   

No comments:

Post a Comment