Monday 13 October 2014

Bentuk generasi yang sihat, cergas


Ibu bapa berperanan penting membudayakan amalan bersukan: Karim

KOTA SAMARAHAN: Dorongan ibu bapa dalam membudayakan amalan bersukan dalam kalangan kanak-kanak amat diperlukan bagi membentuk generasi baharu yang sihat dan cergas.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kecemerlangan kanak-kanak bukan sahaja dalam akademik sahaja tetapi juga kokurikulum.

“Sebagai ibu bapa sokongan dan dorongan amat diperlukan oleh anak-anak kita kerana setiap kejayaan mereka dalam akademik mahupun kokurikulum merupakan peranan kita untuk membentuk mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Ibnu Khaldun Ketujuh di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.

“Walaupun sekolah ini beraliran agama, namun kemampuan dan kebolehan untuk melahirkan pelajar yang cemerlang dalam kedua-dua bidang amat memberangsangkan,” tambahnya.

Malah, menurutnya lagi, sukan juga mampu memberi manfaat yang besar terhadap individu dan organisasi.

Pada masa sama, Karim yang juga Menteri Muda Perumahan menyarankan agar ibu bapa terlibat aktif dalam Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi membolehkan pembangunan modal insan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau menjelaskan tanpa sokongan daripada ibu bapa dalam PIBG, maka sesebuah sekolah itu akan mengalami kesukaran untuk membentuk satu pasukan yang boleh menjadi pembentuk kepada kecemerlangan pelajar.

“Keperkasaan peranan ibu bapa dalam sesebuah sekolah merupakan aset yang penting dalam membantu kecemerlangan institusi persekolahan tersebut,” tegasnya.

Pada majlis itu, Karim turut mengumumkan geran sumbangan sebanyak RM7,000 kepada PIBG SK Agama Ibnu Kaldun untuk membantu pihak sekolah menganjurkan aktiviti bermanfaat bagi para pelajarnya.

Hadir sama Guru Besar SK Agama Ibnu Khaldun Rosli Terhim, Yang Dipertua PIBG Mohd Asmadzy Ahmad Basra dan tetamu kehormat lain.

No comments:

Post a Comment