Wednesday 29 October 2014

Pembelajaran bahasa seiring dengan perkembangan ekonomi dunia: Karim


KUCHING: Dalam konteks perkembangan ilmu secara global, pembelajaran bahasa bukan sahaja terhad untuk pengajaran bahasa kebangsaan dan bahasa Inggeris semata-mata sebaliknya seiring dengan perkembangan ekonomi dunia.

Menteri Muda Pembangunan Belia (Bandar) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembelajaran bahasa asing seperti Korea, Jepun, Arab, Perancis, Mandarin dan Sepanyol turut mengambil peranan penting dalam pembelajaran bahasa di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Justeru, bagi mencapai matlamat itu guru bahasa, penyelidik serta ahli akademik perlu menjadi tunjang dalam memastikan generasi muda hari ini sentiasa mencintai bahasa.

“Tugas seorang pendidik bahasa tidak terkecuali daripada cabaran dan selaras dengan perkembangan global serta dunia tanpa sempadan mereka juga perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan ICT,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Bahasa (iCLS) 2014 di Hotel Riverside Majestic di sini, semalam.

Tambahnya, walaupun bahasa Melayu dan Inggeris sangat penting, seperti tempat lain di dunia ini, kerajaan tidak pernah mengabaikan dialek lain kerana ia adalah sama penting dan perlu dipelihara.

Oleh itu dalam konteks Sarawak jelasnya, kerajaan sedar masih terdapat sekolah-sekolah yang terletak di kawasan pedalaman, mempunyai cabaran daripada aspek kemudahan.

“Melihat kepada kepentingan celik huruf dan bahasa kepada anak bangsa, kerajaan bertekad menggunakan segala sumber dan pengetahuan yang ada untuk menghadapi cabaran ini.

“Saya berharap melalui persidangan ini dapat memberi inspirasi kepada semua pihak untuk memupuk idea-idea baharu dalam mencari langkah terbaik yang dapat memberi manfaat kepada pelajar di seluruh dunia,” jelasnya.

Terdahulu, Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapan aluannya berkata, persidangan itu dapat memberi tumpuan kepada amalan yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, sejajar dengan aspirasi pelan tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Banyak yang telah diperkatakan tentang standard kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris di Malaysia, bukan sahaja di kalangan pelajar tetapi juga profesional yang bekerja dalam bidang masing-masing.

“Ini adalah ancaman serius kepada cita-cita negara untuk menjadi sebuah negara perindustrian menjelang tahun 2020,” jelasnya.

Dengan tema ‘Amalan Terbaik Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’, persidangan itu merupakan anjuran bersama UNIMAS dan Universitas Tanjungpura (UNTAN) Kalimantan, Indonesia.

Seramai 120 peserta telah mengambil bahagian dan 95 kertas kerja dibentangkan.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UNIMAS Datu Dr Hatta Solhi, Penganjur Bersama dari UNTAN Dr Ikhsanudin, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr Awang Sariyan, Pengarah Yayasan Sarawak Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah Jabatan Pendidikan Serina Sauni dan tetamu kehormat lain.
 

No comments:

Post a Comment