Thursday 10 September 2015

Pemadam giatkan program kesedaran bahaya dadah di sekolah

10 September 2015

KUCHING 9 Sept. – Menyedari kecenderungan remaja terjebak dalam aktiviti penagihan dadah, Persa­tuan Mencegah Da­dah Malaysia (Pema­dam) Sarawak me­nya­sarkan untuk memper­banyakkan kempen ke­sedaran tentang ba­haya dadah kepada pe­lajar sekolah.

Pengerusinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hal ini kerana dalam usia remaja, golongan pelajar mudah terjebak dengan gejala tidak sihat sekiranya tidak diberi kesedaran.

Justeru, katanya, adalah pen­ting program kesedaran dibuat di peringkat awal bagi membolehkan pelajar mengetahui bahaya dan kesan akibat menyalahgunakan dadah.

“Kita akan memperbanyakkan lagi program kesedaran supaya pelajar sedar dan mengetahui tentang bahaya najis dadah yang menjadi musuh nombor satu negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pe­lancaran Program Pendidikan Pencegahan Dadah (Program Ilmu-Ilmu Maju Aktif Nekad) di Sekolah Me­nengah Kebangsa­an (SMK) Petra Jaya di sini, semalam.

Dalam majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Petra Jaya bagi mengadakan pelbagai program dan aktiviti untuk pelajar.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, secara keseluruhannya, statistik penyalahgunaan dadah membabitkan pelajar di negeri ini masih berada pada tahap rendah berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Walaupun statistik itu masih rendah, katanya, tidak bermakna pihaknya boleh berpeluk tubuh, sebaliknya perlu terus fokus menjalankan program kesedaran tentang bahaya dadah dari semasa ke semasa.

Beliau yang juga Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Belia negeri berkata, kerjasama daripada semua pihak juga amat diperlukan untuk memastikan sasaran bebas dadah dapat dicapai.

“Adalah menjadi harapan saya supaya semua agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta dapat mengambil tindakan bersama bagi mena­ngani masalah dadah,” katanya.
  

No comments:

Post a Comment