Wednesday 16 March 2016

Sarawak terkilan TOS2016 batal

March 16, 2016

KUCHING: Kerajaan Sarawak terkilan dengan pembatalan program jelajah lumba basikal, Tour of Sarawak 2016 (TOS2016) di Bandaraya Miri, yang sepatutnya bermula semalam.

Menteri Muda Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata pihaknya masih belum dapat memastikan punca sebenar pembatalan itu dan akan meminta penjelasan lanjut daripada pihak penganjur.

"Program ini dikendalikan sebuah syarikat pengurusan acara manakala kerajaan negeri dan agensi berkaitan dibawahnya hanya menguruskan keperluan logistik.

"Malah kita turut dimaklumkan mereka (syarikat penganjur) memiliki sumber kewangan mencukupi untuk menganjurkan acara ini. Kita beranggapan semua persiapan berjalan lancar sehingga wakil penganjur meminta bertemu saya dua hari lalu bagi memohon bantuan kerajaan negeri menyelamatkan keadaan," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Viral di laman sosial

Mengikut perancangan yang sepatutnya, TOS2016 bermula di Bandaraya Miri, semalam sebelum berakhir di Bandaraya Kuching, dengan beberapa lokasi di seluruh negeri menjadi pusat persinggahan.

Penganjur siri jelajah lumba basikal berstatus 'UCI 2.2' itu adalah yang pertama seumpamanya dianjurkan di Sarawak.

Bagaimanapun, pihak penganjur dikatakan menghadapi masalah dalaman, termasuk membabitkan isu kewangan hingga menyebabkan beberapa pelumba dan krew pasukan bertanding terkandas di Lapangan Terbang Miri, kelmarin.

Keadaan seterusnya menjadi kecoh apabila pihak pengajur gagal menguruskan penginapan peserta, malah perkara itu turut menjadi viral di pelbagai laman sosial, termasuk Facebook.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata, beliau tidak pasti apa sebenarnya berlaku, namun tidak menolak kemungkinan pihak penganjur mengalami masalah kewangan.

"Justeru, saya meminta mereka (wakil penganjur) lebih bertanggungjawab kerana situasi sekarang ini menimbulkan ketidakselesaan kepada banyak pihak. Ada pasukan yang sudah membuat persediaan rapi mental dan fizikal tetapi dikecewakan dengan pembatalan ini," katanya.

Tampil beri penjelasan

Beliau berkata, tindakan itu juga mendatangkan banyak kerugian, terutama dari segi masa yang dihabiskan oleh jabatan dan agensi di peringkat negeri mahupun Persekutuan, yang sebelum ini terpaksa bermesyuarat bagi merancang perjalanan perogram berkenaan.

"Ini belum lagi kerugian dipihak hotel dari segi jualan berikutan tempahan berpukal oleh penganjur untuk pelumba dan krew teknikal. Kerajaan Sarawak, khususnya kementerian berkaitan berasa amat kecewa dengan pembatalan pada saat-saat akhir.

"Jadi, kita meminta pihak penganjur lebih bertanggungjawab, malah tampil memberi penjelasan dan tidak bersikap 'lepas tangan' terhadap apa yang berlaku," katanya. -BeritaHarian

No comments:

Post a Comment