Thursday 22 February 2018

FAS jangan berkompromi: Abdul Karim

February 22, 2018 

Pengurusan bola sepak negeri diminta selidik jika ada pemain berurusan, mempunyai unsur ‘hubungan’ dengan ‘bookie’TEGAS: 

Abdul Karim (dua kanan) semasa mengiringi Abang Johari melawat pameran di Kongres Seni Sarawak 2018 di sebuah hotel terkemuka di Kuching, semalam.
KUCHING: Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) diingat tidak berkompromi dengan mana-mana pemain yang didapati berurusan atau mempunyai unsur ‘hubungan’ dengan ‘bookie’, dengan menyingkirkan mereka daripada pasukan negeri.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, memang asas keadilan ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah dan mana-mana pendakwaan memerlukan bukti yang benar- benar kukuh.

Bagaimanapun, Abdul Karim berkata: “Kita akan menyelidik kes pendakwaan serta kertas siasatan untuk melihat sekiranya terdapat unsur hubungan antara pemain dan ‘bookie’ yang dikesan tetapi tidak dapat dibuktikan dengan jelas, yang tidak dapat dibawa ke mahkamah.

“Jika ada, rasanya lebih baik pemain-pemain ini tidak bersama kita,” katanya ketika ditemui sempena majlis perasmian Kongres Seni Sarawak 2018 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel di sini, semalam.

Pagi semalam, Mahkamah Majistret Kuching membebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua pemain FAS dan seorang lelaki dipercayai ‘bookie’ yang sebelum ini ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan Liga Premier.

Mereka direman sejak 15 Februari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan mengatur perlawanan ketika Sarawak menentang FELCRA FC pada 10 Februari lepas yang menyaksikan Sarawak tumpas 2-3, walaupun sudah mendahului dengan jaringan 2-0 pada separuh masa pertama.

Sementara itu, Abdul Karim turut mengingatkan FAS agar terus fokus dalam mengharungi perlawanan seterusnya bagi memastikan pasukan Sarawak terus mencabar dalam liga.

“Ramai ingin lihat pasukan negeri terus maju, bukannya merudum... ini baharu tiga perlawanan kita dah jadi begini. Pemain harus ingat, mereka adalah duta kecil kepada negeri,” katanya.

Ditanya sama ada masalah berkaitan gaji dan pemberian ganjaran menjadi antara kemungkinan punca pemain ‘menjual’ perlawanan, Abdul Karim berkata setakat ini beliau tidak mendengar perkara mengenai gaji mahupun ganjaran menjadi isu dalam pasukan negeri.

Sebaliknya, beliau menyifatkan soal ‘menjual’ perlawanan adalah berkaitan dengan niat, walaupun sebanyak mana gaji atau ganjaran diberikan.

“Sekiranya mereka berniat jahat, ingin membolot segalanya sebanyak mungkin, mereka tetap akan menjual perlawanan walaupun diberikan gaji atau ganjaran yang tinggi,” katanya. -UtusanBorneo
  

No comments:

Post a Comment